Pengorbanan
October 7th, 2014 by chikaBiasa dah berpagi raya tanpa suami. Tapi kali ini lain. Kali ini dia jauh di Arafah sana. Ketika saya dan anak-anak menyambut Aildiladha, dia di sana sedang wukuf. Menyertai jutaan umat manusia mengabdikan diri untuk Allah. Tinggallah saya bersama anak-anak di sini, berkorban. Raya korban tahun ini pastilah satu pengorbanan bagi saya. Saya harap Allah terima pengorbanan saya ini.
Emak, Mak Cik Siah dan Pak Cik Man ada di Adelaide menemani saya dan anak-anak. Sekurang-kurangnya saya tidak sunyi. Setidak-tidaknya, saya tidak dingin menyambut Aildiladha. Tak akanlah saya harus berperangai seperti saya yang sudah terbiasa beraya seperti tiada apa ini. Saya tak perlu heret mereka ke dalam keterbiasaan saya. Jadi, saya merancang untuk masak sikit-sikit juadah raya. Biar ada, biar terasa.
Ain bawakkan saya ke market memilih sayur dan bahan-bahan nak masak. Pergi ke pasar adalah kegemaran saya. Keseronokkan ke pasar adalah tidak terperi. Melihat buah-buahan dan sayur-sayuran segar adalah semacam terapi.
Ke sebuah market di South Road.
Di sini mudah. Vegies and fruits, kedai seafood, halal butcher dan Indian grocery di bawah satu bumbung. Jika Asian grocery ada di situ, lengkaplah. Dah boleh pasang khemah dekat situ. Eh overnya. Janganlah pasang khemah di pasar. Ingat jualan tudung Fareeda ke?
Nikmat Tuhan ini banyak. Dari sebesar-besar nikmat, hinggalah nikmat yang simple dalam bentuk melihat terung dan menjumpai kacang panjang lalu mendebarkan jantung dan mensakitkan perut. Mungkin anda tak faham mengapa sampai kena berdebar dan sakit perut, bukan? Tak apalah. Saya akan tinggalkan anda dengan ketidakfahaman itu. HE HE. Menjumpai sayur-sayuran keMelayuan di bumi asing yang tidak biasa dengannya memang nikmat. Lebih nikmat lagi bagi saorang pencinta makanan seperti saya (dan anda) Ikutkan hati, satu pasar ni saya nak bungkus bawak balik dan bukak pasar sendiri di rumah. Tapi memandangkan peti sejuk kami terlalu comel untuk mengisi seluruh apa yang ada dalam pasar ini, saya hold dululah keinginan aneh itu. Mungkin nanti pabila saya memiliki peti sejuk 10 pintu saya boleh beli satu pasar.
Jiwa saya ini meskipon muda (muda ke?) tapi sifat makcik-makcik suka ke pasar memilih ikan dan memilih sayur sudah sampai dalam diri. Jika hujung minggu dihabiskan dengan berada di dalam pasar juga saya tidak kesah. Tapi janganlah setiap kali hujung minggu bawak ke pasar. Masuk minggu ke-3 mungkin saya akan menterbalikkan pasar. Minat saya terhadap pasar adalah minat yang berpada-pada sahaja. Tak pernah melebihi minat saya ke pusat membeli belah.
Hari raya bagi golongan emak-emak dan golongan gadis-gadis tidak sama. Dulu hari raya adalah keseronokkan tanpa komitmen. Paling besar komitmen pon ialah nak iron tudung pada pagi raya dan berebut tunggu giliran dengan saudara mara. Atau komitmen kena bancuh air sirap dan hidang untuk kanak-kanak. Sekarang komitmen raya dah menjadi terlalu besar. Kena pikir nak masak apa, bahan apa, kena pergi beli, mengemas dan macam-macamlah. Hingga raya menjadi satu sambutan yang terlalu memenatkan. Tapi itulah tandanya kita ini manusia bernyawa dan membesar.
Eceh.
Bunyi dia macam boleh digambarkan saya buat gulai kawah, nasi dagang ikan tongkol, menganyam ketuat dan membakar leman, bukan? BUKAN. Saya hanya menyediakan …
… kuah lodeh.
Jadilah. Yang penting ada. Saya memang tak bercadang nak masak besar-besaran sebab ada jemputan ke rumah rakan. Sedap tahu, kuah lodeh saya ini. Rugi anda semua tak dapat merasai kuah lodeh resepi turun temurun dari ketuanan Johor ini. HAHAHAHA. Ni bukan kelakar OK, ni betul. Resepi ini saya dapat dari Mak Yang. Mak Yang dapat dari arwah Mak Tok (emak kepada arwah bapa saya) yang merupakan resepi lodeh sejati Johor. Tapi version saya ini kurang sejati kerana ketiadaan kincam (sp?) Entah apa kincam, haku pon tak tahu. Kincam tak kincam, sedap saja. Paling penting adalah resepi sambal lontong Mak Yang mengketagihkan. Tapi itu kalau Mak Yang yang buatlah. Yang saya buat mestilah kalah sikit dengan Mak Yang. Kalah menang kan adat pertandingan.
Oh kita dalam pertandingan masakan ke ni? Tak. Kita dalam cerita hari raya tadi.
Pak Cik Man pergi bersembahyang raya di Al-Khalil Mosque bersama Hanafi. Kami semua di rumah sahaja menyiapkan juadah yang satu itu dan berpakaian suasana raya. Kanak-kanak sangat seronok mengenakan jubah masing masing yang dihadiahkan oleh Nenek dan Mak Ngah mereka pada tahun lalu. Hanya pada tahun ini mereka muat untuk menggayakannya. Bagi anak-anak saya, hari raya adalah hari ke rumah orang untuk menikmati juadah. Ha betullah tu. HE HE. Tak. Mereka belum benar-benar faham konsep duit raya kerana budaya itu tidak giat di negara ini.
Sekembali Pak Cik Man dari sembahyang raya, kami pon bergambar sebagai kenang-kenangan. Bukan selalu saya menyambut hari raya sebegini. Biasanya suami saya bekerja dan saya bersyahdu di rumah. Tahun ini istimewa. Emak, Pak Cik Man dan Mak Cik Siah beraya bersama saya. Suami walaupun tiada di sisi, tapi dia menyambut Aidil Adha dengan istilah yang lebih besar. Semoga mabrur.
Menikmati masak lodeh saya di pagi raya.
Jemput tengok.
Kenyang bersarapan di rumah sendiri, kami pergi bersarapan di rumah Kak Ana dan Pak Mud. Kuih dan muih, beraneka macam.
Makanlah jangan hanya dipandang.
Ketupat rendang juga ada. Lemang juga ada, walau bukan dibakar di belakang rumah sehari suntuk dan menghangatkan suasana. Lemang segera, ketupat segera, segala-galanya segera. Tapi yang penting adalah nikmat merasainya. Kita hanya perlu mensyukuri nikmat. Ini juga antara pengertian hari raya buat kita. Mungkin beraya di rantauan memang tidak sehebat suasana di tanah air. Tapi nilaian kita mungkin tak sama. Di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung. Kalau pijak di Adelaide, kedai Vietnam kita kunjung. Terima kasihlah para Vietnamese kerana beri kami peluang membeli apa saja makanan Malaysia yang kami ingini. #Vpower (tetiba saja)
Rumah Kak Ana dipenuhi rakan-rakan yang lainnya. Ada rakan yang saya sedia kenal, ada rakan rapat dan ada juga rakan baru. Jadi kami pon berkenalan dan merapatkan silaturrahim. Sekarang kita telah sampai kepada definisi raya yang lainnya iaitu kunjung-mengunjungi menjalin ikatan. HAHAHAHAHA. Tak perlulah ketawa tak semena-mena.
Sebenarnya saya sampai lewat sikit. Ketika saya sampai, ramai juga yang hendak pulang. Maka, sampai-sampai sahaja saya terus diajak bergambar.
Picture credit to : Ain.
Jangan teka saya terus sambar makanan sebaik sesi bergambar ye. Jangan suka suka fitnah. Sebelum dapat duduk dan makan dengan aman, saya kena mententeramkan anak-anak dahulu. Bagi mereka makan sepinggan seorang, dan mengambil hati Yusuf. Selesai semuanya barulah saya boleh makan. Itu pon nak menyudahkan satu suapan pon diselang-seli dengan pancaroba. Kalaulah suamiku di sisi, semuanya lebih OK.
Yang ini, lazat betul. Namanya Melati Di Rimba. Seanggun nama, sesedap rasa. Dengarnya kek ini flourless. Nak resepi, nanti saya bagi dalam mimpi. HA HA. Saya tak ada resepinya.
Dengan adanya Ain, tenteram jugalah saya. Sebab anak-anak saya ni suka Aunty Ain. Nak makan pon Aunty Ain sanggup layankan.
Pak Mud, Khalil, Dr. Irwan, Dr. Rizal, Dr. Dila, Yati, Cik Siah, Pak Cik Man, Dr. Lisa, Ashmal, Dr. Nurul dan Kak Ana.
Siapa pulak Dr. Nurul tu? Entahlah. Saya pon tak tahu.
Bukan sekadar breakfast saja di rumah Pak Mud, malah sampai ke lunch, solat Zohor dan membawa ke petang pon masih di rumah Pak Mud. Sampai habislah filem King Kong ditonton. Dari Rumah Pak Mud, kami ke park di Days Road pulak memenuhi jemputan Kak Nita. Convoy beramai-ramai sebab saya tidak ingat jalan. Walhal park itu hanya sejengkal dari rumah. Lebih memalukan lagi, park itu sering kami pergi pada hujung minggu. Ya Allah kau ni! Selama ni dalam kereta apa kau buat? Alah. Setiap manusia ada kekurangannya. Kekurangan saya ialah sukar mengingat jalan. Anda pula, apa kurangnya?
Budak banyak akal dan faham bahasa. Apa sahaja arahan sudah difahami. Apa saja. Tinggal lagi samada dia nak mengikut arahan atau buat tak tahu.
Well well. Memetik bunga, itu tanggungjawap kita.
Around 4 o’clock, ada BBQ di park diadakan oleh Kak Nita dan Dr. Jali. Terima kasih Kak Nita & Jali menjemput kami semua. Punyalah meriah dan dipenuhi orang.
Dr. Jali in action.
Pengalaman pertama Mak Cik Siah dan Pak Cik Man beraya di luar negara (selain di Mekah) Mereka kelihatan gembira. Lebih-lebih lagi Pak Cik Man. Sebab Pak Cik saya ni pandai bersosial dan peramah. Dahulunya masa saya kecil kecil, Pak Cik Man tak seramah ini. Dulu Pak Cik Man seorang yang serius dengan misainya yang garang itu. Maklumlah, Mejar Osman.
Letihnya bukan kepalang. Dengan budak budak termasuklah Yusuf yang hanya tahu nak berlari sana sini. Tak mahu diam. Itu pon nasib baik ada kakak-kakak, abang-abang, aunties, uncles, Nek Ma, Tok Mak dan Tok Abah yang tolong kejar. Kalau harapkan saya seorang, mungkin saya telah berada di dalam kolam tersebut. Berendam menyejukkan hati. Mungkinlah.
Betapa pentingnya kehadiran suami. Betapa selama ini banyaknya hidup saya dimudahkan oleh suami. Betapa banyaknya dia membantu. Betapa baiknya dia tidak berkira dan beri ruang kepada saya untuk bergaya, bersepatu tinggi, bertas tangan dan berlenggang kangkung. Betapa sering dia beri ruang untuk saya berbahagia. Sekali-sekala bila dia tidak di sisi, bagai sedang terbalik bumi ini. Anak keliling pinggang, tudung senget dan muka berlengaih. Betul-betul emak beranak 3 kelihatannya. Dan semangat untuk bersiap kelihatan comel juga jadi tak ada. Untuk siapa tah jika bersiap-siap pon :( Tak ada siapa nak puji kita T____T
Inilah Ain. Yang selalu tolong saya.
Ashmal dan kanak-kanak. Ketika ini mereka sedang cuba memanggil itik (atau bird?) supaya datang menjamah roti yang mereka lemparkan. Sedih sekali. Tak seekor pon yang datang. Sama ada sombong tak mahu roti tapi nak rendang, atau sebenarnya itik telah terlalu kenyang dibagi makan oleh orang ramai yang lainnya. Kesian Medina dan Idris. Roti mereka tidak diendahkan.
Sudahnya Medina makan sendiri roti tersebut.
Mana boleh tahan saya tengok air yang tenang ini. Izinkan saya mencuba nasib untuk masuk ke dalam air sebentar. Oh OK. Tak berjaya. Tak apa, saya cuba lagi. Ada 3 kali cubaan telah dibuatnya. Lepas sahaja, terus menuju ke air. Kalau dibiarkan, mungkin telah berenang-renang sambil memakan roti yang dibaling oleh kakak dan abangnya.
Sebenarnya saya telah berasa jemu membuat karangan yang panjang ini. Dengan rasa jemu ini, saya akan mengambil langkah mudah dengan hanya mengajak anda melihat sahaja gambar gambar di bawah. Silakan.
Bukan senang nak ajak pulang. Berulang-ulang kali ku laung, mari pulang!
Dan akhirnya pulang.
Hari itu telah menjadi hari yang sangat memenatkan. Namun begitu menggembirakan. Meskipon dalam hati ada kerinduan yang terpaling besar tidak terkata. Dalam kemeriahan ini, pastilah hati ada rasa kurang. Tak apa tak apa. Sikit hari lagi. Pengorbanan.
| 10 Comments »